"Siapa nak coklat, angkat tangan", sebahagian besar anak murid Cikgu Iza mengangkat tangan... Cikgu Iza tersenyum, dia tahu umpannya mengena.
"Baiklah, sesiapa yang dapat jawab soalan cikgu dengan betul, cikgu akan hadiahkan sekotak coklat ni", ujar Cikgu Iza sambil tangan kanannya menunjukkan kotak coklat yang berbungkus cantik... Wah, bersemangat wajah anak-anak muridnya menunggu soalan dari cikgu Iza.
" Apa soalannya cikgu?", tanya Idin yang tak sabar-sabar nak menjawab soalan yang bakal ditanya oleh gurunya itu. Cikgu Iza memandang Idin dengan senyuman serta kagum dengan kesungguhan budak lelaki tersebut. Maklumlah sebelum ini Idin antara muridnya yang tidak memberikan tumpuan di dalam kelas.
"Kalau nak tahu soalannya, kena dengar betul-betul topik yang cikgu nak ajarkan hari ini", jelas Cikgu Iza. Seketika, ada sedikit kehampaan di wajah anak-anak muridnya. Tetapi apabila Cikgu Iza mengangkat dan menggoyangkan semula kotak coklat di tangannya, wajah mereka kembali bersemangat.
Dengan tekun Cikgu Iza menceritakan asal usul coklat dan sejarah penemuan coklat. Walaupun mereka tidak begitu faham dan kenal daerah-daerah asal koko, tapi mereka kenal rupa buah, biji dan pokok koko itu sendiri lantaran banyaknya pokok itu ditanam di Malaysia. Sebahagiannya mencatatkan nota. Mereka berfikiran, barangkali dengan cara itu mereka akan mendapat peluang yang lebih besar menjawab soalan cikgu Iza dengan tepat kelak.
Anak-anak kecil mana yang tidak gemarkan coklat? Apatah lagi budak-budak seperti di kampung Idin yang rata-rata ibu dan bapa mereka sekadar mengutip hasil hutan di sekitar penempatan mereka. Jangankan sebulan, setahun sekali pun belum tentu mereka menikmati coklat yang berkualiti buatannya.
Daripada penjelasan CIkgu Ida, rupa-rupanya Malaysia adalah pengeluar koko ke-8 terbesar di dunia dari sumber UNCTA dan ICCO berbanding negara pengeluar utama Ivory Coast. Malah Malaysia telah menubuhkan sebuah agensi penyelidikan berkaitan dengan koko iaitu Lembaga Koko Malaysia sejak 1989.
Disebutkan juga kebaikan-kebaikan coklat sebagai menjawab pandangan-pandangan negatif tentang coklat. Antaranya Cikgu Iza menegaskan coklat bukan makanan yang menggemukkan. Bukan juga punca kerosakan gigi. Malah coklat adalah sumber kalsium dan protein juga antioksidan yang tinggi.
"Baiklah, sekarang masa yang ditunggu-tunggu", ujar Cikgu Iza bersedia melontarkan soalannya kepada murid-muridnya. Terbayang keenakkan coklat praline, truffles dan gianduja yang sungguh mengujakan membuat murid-murid Cikgu Iza tidak senang duduk cuba merebut peluang menjawab soalan mendebarkan.
"Berikan cikgu nama saintifik kepada koko?"
"Theobroma cacao!!!!!!!!", bergema suara sekelas anak murid Cikgu Iza serentak menjawab dengan masing-masing mengangkat tangan sehingga ada yang hampir berdiri.
Cikgu Iza terkedu seketika. Dia kemudiannya tergelak kecil. "Bagus anak murid cikgu, semua fokus".
"Baiklah seperti yang cikgu janjikan, siapa yang menjawab dengan betul akan dapat sekotak coklat". Cikgu Iza mengeluarkan beg kertas di bawah meja dan mengagihkan kepada seisi kelas. Rupanya bukan sekotak sahaja yang dihadiahkan, malah semua anak muridnya mendapat sekotak seorang. Walaupun, penat semalaman menghasilkan sendiri coklat itu, dia puas kerana dapat memberikan peluang kepada anak-anak muridnya menikmati keenakkan coklat buatan tangannya.
Peluang sebegini jarang diperoleh anak-anak kecil itu. Mereka tidak seperti anak-anak di bandar yang lali dengan semua nikmat serta kesenangan memiliki apa yang mereka inginkan. kehadiran cikgu seperti Cikgu Iza sedikit sebanyak menceriakan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah kurang murid itu.
Paling diharapkan oleh guru seperti Cikgu Iza ialah tumpuan murid-murid itu sendiri. Sambil tersenyum Cikgu Iza mengulangi jawapan kepada soalannya tadi dalam nada suara yang didengari sendiri, "theobroma cacao".
~tamat~
Dikarang oleh;
Sanggasari
28 Mei 2010
Theobroma cacao
9:53 AM
Siti Lyana
Posted in
Chocolate Info
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No Response to "Theobroma cacao"
Post a Comment